Untukku dan Untukmu..... sama-samalah kita hayati...
PERINGKAT-PERINGKAT KASIH
KASIH ada berbagai-bagai peringkat ada yang sejati,
ada yang tidak hakiki
Cinta atau kasih ada yang mudah luntur,
ada yang payah hendak luntur
Ia adalah satu sifat ada yang berpanjangan,
ada yang tercicir di dalam perjalanan hidup
Setiap kasih yang berlaku ada yang bersebab
ada yang semula jadi
Kasih ada yang asli dan ada yang aradhi
Berlakunya kasih atau cinta seseorang terhadap
atau kepada seseorang tidak sama
Ada yang cinta dan kasih semula jadi
Yang langsung tidak ada hubungkait
dengan benda dan kebendaan
Seperti kasih anak kepada ibu bapanya
Sekalipun ibu bapa itu miskin, cacat,
tidak ada pangkat, buruk
Namun anaknya tetap cinta dan kasih
kepada ibu bapanya
Kasih semula jadi ini payah luntur
kecuali kalau ibu bapanya terlalu kejam
Ada kasih kerana kecantikan seseorang wanita,
kerana tubuh badannya yang seksi
Kasih ini ada hubungan dengan rangsangan nafsu
Kalau sebab-sebab ghairahnya nafsu sudah hilang
Seperti sudah tua, atau kecantikan hilang disebabkan sakit,
atau kemalangan yang mencacatkan badan
Kasih pun hilang, kecuali ada pada perempuan itu
akhlak yang mulia
Kasihnya masih tersangkut disebabkan akhlaknya
Berlaku juga kasih atau cinta disebabkan ilmu
atau kepandaian seseorang
Terjatuh hati dengan ilmunya, maka automatik jatuh hati
kepada orangnya
Kasih ini juga mudah luntur
Jika orang itu rosak akhlaknya, hilang kasihnya
Tidak kurang juga kasih seseorang pada seseorang
kerana ternama dan ada glamour
Dia jatuh hati pada orang itu kerana terkenalnya orang itu
Cinta yang begini juga mudah luntur
Jika orang itu sudah tidak terkenal mungkin kerana sakit,
atau jatuh wibawanya
Mungkin juga jatuh pangkatnya, luntur pula kasihnya
pada orang itu
Biasa juga berlaku cinta seseorang pada seseorang
kerana hartanya
Kekayaanlah membuatkan dia jatuh hati
Kasih yang seumpama ini mudah sahaja pudar
Jika hilang kekayaan, atau ditimpa miskin dan papa-kedana
luntur pula kasihnya
Ada orang jatuh hati pada seseorang kerana pangkat
dan kedudukan yang tinggi di dalam sesuatu jawatan
Dia terpikat dengan kedudukannya
Kasih yang semacam ini juga mudah luntur
Di waktu ada pangkat kasih berbunga,
di waktu pangkat tidak ada kasih hilang entah ke mana
Di dalam pada itu ada orang terpaut dengan seseorang
kerana kuat dan gagah
Hatinya pun terpaut dengan orang itu
Cinta yang begini juga palsu
Apabila orang itu lumpuh atau lemah kerana penyakit
Kasih pun hilang, orang yang dikasihi dahulu
tinggal seorang
Ramai orang di dunia ini jatuh hati dan cinta
pada orang yang akhlaknya tinggi
Seperti pemurah, juga kasih sayang, merendah diri, mesra,
pemaaf, bertimbang rasa, bertolak ansur,
Berlemah lembut pakaiannya, mengutamakan orang budayanya
dan lain-lain lagi sifat yang mulia
Pada orang ini semua golongan jatuh hati dan cinta
Orang ramai mabuk dengannya,
sekalipun orang yang jahat perangainya
Walaupun dia seorang kafir
Kecuali orang yang hasad dengki sahaja
Yang sebenarnya kasih yang hakiki yang kekal abadi
Cinta yang murni dan ikhlas yang tidak bersifat kebendaan
Kasihkan Allah Tuhan yang ada pada-Nya segala-galanya
Kasih yang tidak akan berhadapan dengan cacat celanya
Sekalipun Tuhan tidak dapat dilihat oleh mata
Tapi dia terasa ada-Nya di dalam jiwa
Cinta ini hanya diperolehi oleh orang yang bertaqwa
Cinta yang luar biasa
Sesiapa yang memperolehinya tidak mampu lidah bercerita
Selepas ekspedisi
02 - 09 - 2001
No comments:
Post a Comment